E-Bincang

Bacaan Ayat Al-Quran

Ahad, 25 Ogos 2013

Latihan Ulang kaji Ramalan SPM Bahasa Melayu 2013

Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawap soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Syair Makna Riak
Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (Penyelenggara)


Kemudian dinyatakan makna riak,
Amal ibadat kerana manusia,
Inilah kebencian Tuhan yang sedaya,
Sebab kerana syirikkan Dia.


Terkadang riak pula dilakukan,
Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
Bertutur itu suara diperlahankan,
Tubuh dan badan tidak dihiraukan.


Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak peduli,
Hemahnya itu sangatlah ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.


Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis diramu.


Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.


Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambayan,
Sejadah di bahu bersampaian,
Tasbih di tangan beruitan.


Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.


Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.


Antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dn Pustaka, 2010

i. Apakah tujuan sesetengah individu itu memperkatakan hal-hal mantik? [3 markah]
ii. Pada pendapat anda, apakah keperibadian yang akan dimiliki oleh seseorang individu yang ikhlas dalam mengerjakan suruhan agamanya? [3 markah]
iii. Nyatakan tiga persoalan yang terkandung dalam puisi ini. [3 markah]

Cadangan jawapan

i. Tujuan individu itu berbuat demikian adalah supaya masyarakat menganggap dirinya bijak pandai dan memberikannya sesuatu
ganjaran.
[3 markah]
ii. Individu sedemikian tidak akan menunjuk-nunjukkan segala ibadah yang dilakukannya kepada orang ramai. Selain itu dia juga
tidak akan berlagak pandai tetapi sebaliknya akan sentiasa bersedia untuk mendengar pandangan dan nasihat daripada orang yang
lebih tahu daripadanya. Di samping itu dia juga tidak akan mengharapkan sebarang ganjaran daripada manusia sebaliknya menyerahkan
untung rugi segala amalannya kepada Tuhan.
[3 markah]
iii. Satu persoalan dalam puisi ini ialah sikap manusia yang beribadat semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dibenci Tuhan. Selain
itu terdapat juga persoalan sikap manusia yang berpura-pura beriman bagi mendapatkan pujian dan ganjaran daripada manusia.
Satu lagi persoalan dalam puisi ini ialah sikap sesetengah manusia yang menampilkan keimanan kerana ingin menjadi ketua.
[3 markah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan