E-Bincang

Bacaan Ayat Al-Quran

Sabtu, 27 Julai 2013

Petua Menukarkan Cakap Ajuk

a. Tukarkan semua kata ganti nama diri pertama (saya, aku, hamba, beta, kami, kita dll) dan kata ganti nama diri kedua ( awak, kamu, anda, engkau, saudara, tuan dll) menjadi kata ganti nama diri ketiga (dia, beliau, mereka, -nya, nama orang)

Contoh.:
“Saya akan menunggu awak di tepi jambatan,” kata Ali kepada Kassim.

Cakap pindah:
Ali membeirtahu Kassim bahawa dia akan menunggunya di tepi jambatan.


b. Berikan imbuhan kepada semua kata dasar.

Contoh:
“Angkat peti ini dan letak di bilik saya, “ kata Encik Halim kepada pekerjanya.

Cakap pindah:
Encik Halim menyuruh pekerjanya mengangkat peti itu dan meletakkannya di biliknya.

c. Tukarkan semua singkatan menjadi kata lengkap

Contoh:
“Saya tak nak makan . Saya dah makan di kedai tadi,” kata Amin kepada ibunya.

Cakap pindah:
Amin memberitahu ibunya bahawa dia tidak mahu makan kerana sudah makan di kedai.

d. Gugurkan semua Kata Tanya (berapa, bila, mengapa dll) dan gantikan dengan frasa tanpa Kata Tanya.

Contoh:
“Bagaimana awak buat kek ini?” Tanya kakak kepada rakannya.

Cakap pindah:
Kakak menanyakan cara membuat kek itu kepada rakannya.

Contoh:
“Kenapa kamu lambat Ali?” Tanya cikgu.

Cakap pindah:
Cikgu menanyakan sebab kelambatan Ali.

e. Tukarkan kata tunjuk ini menjadi kata tunjuk jauh itu atau tersebut.

Contoh:
“Saya suka baju ini bu,” kata adik.

Cakap pindah:
Adik memberitahu ibu bahawa dia suka akan baju tersebut/itu.

f. Tukarkan kata arah sini menjadi situ atau di tempat itu.

Contoh:
“Di sinilah saya menuntut ilmu semasa muda dahulu,” kata ayah.

Cakap pindah:
Ayah berkata bahawa di tempat itulah beliau menuntut ilmu semasa muda.

g. Tukarkan semua kata lisan/bahasa pasar menjadi kata/frasa formal.

Cakap Ajuk                                           Cakap Pindah
Tak bagi                                                 Tidak membenarkan
Tak mahu                                               Enggan
Kacau                                                     Ganggu
Masuk campur                                       Melibatkan diri
Bukan hal aku                                        Bukan urusannya

CAKAP AJUK / CAKAP PINDAH

Cakap ajuk merujuk kepada perbualan atau dialog yang dituturkan oleh manusia. Oleh itu cakap ajuk harus ditulis dalam pembuka dan penutup kata (“…..”). Sementara itu, cakap pindah pula merupakan bentuk bahasa yang wujud apabila kita menyampaikan semula maklumat yang dituturkan itu kepada orang ketiga.

Contoh:
“Nama saya Ali,” kata budak itu. - Cakap ajuk
Budak itu berkata bahawa namanya Ali. – Cakap pindah

“Hantar buku kamu sekarang juga,” kata cikgu kepada pelajar itu. – Cakap ajuk
Guru menyuruh budak itu menghantar bukunya pada waktu itu juga. – Cakap pindah

AYAT BIASA/ SONGSANG

Pada dasarnya ayat akan ditulis dengan susunan subjek di hadapan dan predikat di belakang. Ini dikenali sebagai ayat bersusunan biasa. Namun begitu ada masanya susunan ini boleh diterbalikkan atau disongsangkan. Ayat-ayat sedemikian dikenali sebagai ayat
bersusunan songsang.

Contoh:
Mereka bersalam-salaman sebelum berpisah. - Susunan biasa
Bersalam-salaman mereka sebelum berpisah - Susunan songsang
Kakak menyanyi-nyanyi sementara menunggu gulai itu masak. – Susunan biasa
Menyanyi-nyanyi kakak sementara menunggu gulai itu masak. – Susunan songsang
Sementara menunggu gulai itu masak, kakak menyanyi-nyanyi. - Susunan songsang

AYAT AKTIF / PASIF

Ayat aktif ialah ayat yang menggunakan kata kerja transitif aktif. Kebanyakan kata kerja jenis ini bermula dengan imbuhan me-, mem-, men- dan meng- dan berakhir dengan imbuhan –kan atau -i atau tidak berakhir dengan sebarang imbuhan.

Contoh ayat aktif ialah:
Adik memasukkan guli ke dalam lubang.
Kakak membantu Aminah menghias rumah barunya
Mereka menaiki bas untuk pergi ke sekolah.
Ayah menggantikan ibu untuk menjaga adik di hospital.

Kesemua ayat tersebut merupakan ayat aktif. Sekiranya dipasifkan, kata kerjanya akan menjadi kata kerja pasif iaitu menerima
imbuhan di- atau di – kan dan diikuti kata sendi oleh.
Perhatikan bagaimana kita mempasifkan ayat-ayat di atas:
Adik memasukkan guli ke dalam lubang. - Ayat aktif
Guli dimasukkan oleh adik ke dalam lubang. - Ayat pasif
Kakak membantu Aminah menghias rumah barunya. – Ayat aktif
Aminah dibantu oleh kakak untuk meghias rumah barunya. – Ayat pasif
Mereka menaiki bas untuk pergi ke sekolah. - Ayat aktif
Bas dinaiki oleh mereka untuk pergi ke sekolah. – Ayat pasif
Ayah menggantikan ibu untuk menjaga adik di hospital. – Ayat aktif
Ibu digantikan oleh ayah untuk menjaga adik di hospital. - Ayat pasif

Namun begitu, teknik berkenaan tidak boleh digunakan bagi mempasifkan ayat-ayat yang melibatkan kata ganti nama diri pertama

(saya, aku, hamba, beta, kami dll)
Contoh.
Saya membaca buku cerita itu. - Ayat aktif
Buku cerita itu dibaca oleh saya. - Ayat pasif - SALAH

Sepatutnya:
Buku cerita itu saya baca. – Ayat pasif - BETUL

Contoh tambahan.
Kami menyediakan bilik untuk mesyuarat. - Ayat aktif
Bilik disediakan oleh kami untuk mesyuarat. - Ayat pasif –SALAH
Bilik kami sediakan untuk mesyuarat - Ayat pasif - BETUL

Panduan membina ayat

PENGENALAN

1. Soalan membina ayat merupakan soalan pertama pada bahagian Tatabahasa iaitu soalan 3a.

2. Sebanyak 6 markah diperuntukkan untuk soalan ini.

3. Anda akan diberikan satu senarai perkataan atau istilah dan dikehendaki membina satu
ayat bagi setiap perkataan tersebut.

4. Anda mungkin diberikan 6 kata (satu markah untuk setiap ayat) atau 3 kata sahaja
(2 markah untuk setiap satu)

JENIS SOALAN
Sebenarnya tiada batasan untuk jenis kata/istilah yang boleh dikemukakan untuk bahagian ini. Antara contohnya ialah:

A. Kata dasar yang sama dengan imbuhan berbeza contoh :
i. putus
ii. diputuskan
iii. terputus
iv. memutuskan
v. keputusan
vi. putus-putus

B. Kata berganda
i. huru-hara
ii. riuh-rendah
iii. kusut-masai
iv. lintang-pukang
v. mundar-mandir
vi. lalu-lalang

C. Kata dengan imbuhan pinjaman contoh :
i. tatabahasa
ii. prauniversiti
iii. prokerajaan
iv. antisosial
v. subnilai
vi. dwibahasa

D. Kata hampir sama bunyi
i. renang
ii. menang
iii kenang
iv.benang
v. tenang
vi.senang

E. Kata hampir sama makna
i. memotong
ii. mencantas
iii menghiris
iv. mencincang
v. menetak
vi. menebang

F. Kata pinjaman
i. boikot
ii. veto
iii. fasa
iv. biografi
v. sentimen
vi. meritokrasi

G. Kata majmuk (atau pemajmukan istilah khusus) dan frasa khusus
i. sumbang saran
ii. imbangan dagangan
iii peluang terbuka
iv. suara hati
v. kuasa beli
vi. jati diri

H. Membezakan maksud kata yang sama (Anda perlu membina dua ayat bagi setiap perkataan bagi menunjukkan perbezaan maknanya)
i. mereka
ii. semak
iii daki

Sumber rujukan ;
Ditulis oleh : Dr Kathiresan PhD
(Pengarang lebih 60 buku Revisi Bahasa Melayu dan Kesusasteraan)

Ayat majmuk

Ayat Majmuk
Ayat majmuk terbina melalui gabungan dua atau lebih ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung. Hal ini bermakna ayat majmuk akan mempunyai lebih daripada satu subjek dan/atau predikat.

Contoh :
Ali / pergi ke sekolah. – Ayat tunggal 1
Adiknya / masih tidur. – Ayat tunggal 2
Ali pergi ke sekolah tetapi adiknya masih tidur - Ayat majmuk

Ayat majmuk dikenali dengan nama berbeza berdasarkan jenis kata hubung yang digunakan dan kaedah ayat-ayat di dalamnya digabungkan.

Contoh :
Ayat Majmuk Gabungan
Ini ialah dua atau lebih ayat tunggal yang dihubungkan dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, lalu, serta, walaupun dll.

Contoh:
Hisham dan adiknya pergi ke sekolah.
Pak Jalil tetap turun ke sawah walaupun badannya kurang sihat.

Ayat Majmuk Pancangan Relatif
Ini ialah ayat majmuk yang menggunakan kata hubung yang sahaja.
Contoh:
Pelajar yang baru berpindah dari Johor itu pandai bermain catur.

Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
Ini ialah ayat majmuk yang menggunakan kata hubung bahawa dan untuk sahaja.
Contoh:
Guru menerangkan bahawa besok hari cuti.
Dia membeli hadiah itu untuk ibunya yang tercinta.

Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
Ini merupakan ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil. Ayat kecil itu berfungsi untuk menerangkan
ayat induk.

Contoh :
Ali tidak datang ke sekolah kerana sakit. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Sebab)
Saya akan pergi jika tidak hujan. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Syarat)
Dia sakit perut setelah memakan kuih itu. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Waktu)
Dia tetap ke sawah walaupun sakit. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Pertentangan)
Kami berdoa agar dia lekas sembuh. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Harapan)
Ayah pergi ke pejabat dengan kereta. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Cara )

Ayat Tunggal

Ayat Tunggal
1. Ayat tunggal sama dengan ayat dasar iaitu hanya terdiri daripada satu subjek dan satu
predikat.

2. Walau bagaimanapun ayat tunggal berbeza daripada ayat dasar dalam beberapa aspek
iaitu:
a. Semua ayat dasar ialah ayat penyata sahaja manakala ayat tunggal boleh terdiri
daripada pelbagai jenis ayat seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan
ayat seruan.

b. Bagi ayat dasar, subjek mesti di hadapan dan predikat mesti di belakang. Ayat
tunggal pula tidak mementingkan susunan ini. Oleh itu ayat tunggal boleh
mengalami proses penyongsangan dan predikatnya boleh hadir di hadapan ayat.

3. Terdapat empat jenis ayat tunggal dalam bahasa Melayu iaitu ayat penyata, ayat
tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

Ayat Penyata
Contoh :
Adik saya / pergi ke sekolah.

Ayat Tanya
Contoh:
Nama kamu / siapa? (“siapa” ialah predikat)
Ayat ini boleh mengalami proses penyongsangan dan ditulis seperti ini …
Siapakah nama kamu?

Ayat Perintah
Terdapat empat jenis ayat perintah iaitu:

i. Ayat Suruhan
Contoh :
Awak / siapkan kerja ini sekarang juga.
Kamu / belilah buku itu.

ii. Ayat Larangan.
Ayat ini akan menggunakan kata larang usah, tak usah dan jangan,
Contoh :
Awak / tak usah datang ke rumah saya.
Kamu / jangan ambil buku itu.
Awak / tak usah ganggu dia lagi.

iii. Ayat Silaan
Ayat ini akan menggunakan kata sila dan jemput.
Contoh :
Awak / jemputlah makan bersama kami.
Tuan / silalah masuk ke rumah.

iv. Ayat Permintaan
Ayat ini akan menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong.
Contoh :
Tuan-tuan / tolong datang awal sedikat.
Para hadirin / minta bersabar sebentar.

Ayat Seruan
Contoh:
Ayat-ayat ini akan menggunakan kata seru seperti wah, aduh, amboi, cis, nah dll.

Contoh :
Amboi, cantiknya rumah awak!

Ayat Dasar

Bagi menjawab soalan-soalan pada bahagian ini dengan baik, anda perlu memiliki pengetahuan asas yang kukuh tentang ayat.

Ayat Dasar
a. Ayat dasar merupakan ayat-ayat asas dalam Bahasa Melayu.
b. Ayat-ayat inilah yang menjadi dasar untuk semua ayat lain.
c. Terdapat tiga ciri utama ayat dasar iaitu:

i. Satu subjek dan satu predikat sahaja
ii. Subjek mesti di hadapan dan predikat mesti di belakang
iii. Subjek hanya terdiri daripada kata/frasa nama (FN) manakala predikatnya
boleh terdiri daripada sama ada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa
adjektif (FA) atau frasa sendi nama (FS)

d. Terdapat empat pola ayat dasar iaitu

FN + FN
Contoh :
a. Ayah / guru.
b. Ibu saya / tukang masak.

FN + FK
Contoh :
a. Ayah / menebang pokok.
b. Ali / menendang bola.

FN + FA
Contoh:
a. Rumah itu / besar.
b. Budak itu / pandai.

FN + FS
Contoh :
a. Ayah / ke pejabat.
b. Ibu saya / ke pasar.

Tatabahasa berkaitan "Ayat"

PENGENALAN

1. Latihan berkaitan dengan ayat akan menduduki soalan kedua pada bahagian tatabahasa iaitu soalan 3(b).

2. Sebanyak 6 markah akan diperuntukkan untuk bahagian ini.

3. Bahagian ini bertujuan untuk menguji dua perkara iaitu:

a. Pengetahuan tentang jenis dan binaan ayat
b. Kemahiran membina ayat yang gramatis.

4. Pelbagai jenis soalan boleh dikemukakan pada bahagian ini. Antaranya ialah:

a. Menentukan jenis ayat
b. Membina pelbagai jenis ayat
c. Menukarkan ayat aktif menjadi ayat pasif
d. Menukarkan ayat pasif menjadi ayat aktif
e. Menukarkan ayat songsang menjadi ayat biasa
f. Menukarkan cakap ajuk kepada bentuk pindah
g. Menukarkan cakap pindah kepada bentuk cakap ajuk
h. Menggabungkan ayat
i. Mencerakinkan /memisahkan ayat majmuk menjadi ayat tunggal

Syarat pembinaan ayat, ayat boleh ditulis dalam bentuk cakap ajuk

Anda boleh membina ayat dalam struktur cakap ajuk dengan mematuhi tanda bacanya.

Contoh : lama-lama

“Kamu jangan lama-lama di sana Sham,” pesan ibu kepada abang yang hendak menghadiri jamuan hari jadi kawannya.

"Awak tunggu lama-lama di sini buat apa," kata cikgu Ahmad kepada pelajar yang masih belum masuk ke kelasnya.

Syarat pembinaan ayat tidak boleh membina lebih daripada satu ayat

Walaupun anda membina satu ayat, namun sekiranya ayat tersebut mempunyai lebih daripada satu ayat, maka markah akan dipotong.

Contoh : tambahan
Kebanyakan pelajar kelas itu tidak faham akan topik tersebut oleh itu Cikgu Rashid bercadang untuk mengadakan kelas tambahan.

Sebenarnya terdapat dua ayat dalam ayat di atas iaitu:
1. Kebanyakan pelajar kelas itu tidak faham akan topik tersebut.

2. Oleh itu, Cikgu Rashid bercadang untuk mengadakan kelas tambahan.

Contoh ayat yang tepat ialah :
Cikgu Rashid bercadang untuk mengadakan kelas tambahan kerana kebanyakan pelajar kelas itu tidak faham akan topik tersebut.

Syarat pembinaan ayat tidak boleh menjadikan kata tersebut sebahagian daripada kata nama khas

Kata atau frasa yang diberikan tidak boleh dijadikan kata nama khas atau sebahagian daripada kata nama khas.

Contoh : kebangsaan
Kakak berasa amat gembira setelah menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ayat ini salah kerana “Universiti Kebangsaan Malaysia” ialah kata nama khas.

Contoh ayat yang tepat ialah :
Salah satu objektif mata pelajaran sejarah adalah untuk menyemaikan semangat kebangsaan di jiwa para pelajar.

Syarat pembinaan ayat tidak boleh menjadikan kata tersebut sebahagian daripada peribahasa

Kata atau frasa yang diberikan tidak boleh dijadikan peribahasa atau sebahagian daripada peribahasa. (Ini termasuklah simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah dan sebagainya.)

Contoh : kudung
Majikan Kassim amat mengasihinya kerana sikapnya yang tak ubah seperti lipas kudung itu.
Ayat di atas salah kerana “lipas kudung” ialah simpulan bahasa yang membawa maksud seseorang yang melakukan sesuatu dengan pantas.

Contoh ayat yang tepat ialah :
Majikan telah memberhentikan Kassim setelah kakinya kudung dalam kemalangan itu.

Syarat pembinaan ayat tidak boleh menambah, menggugurkan atau mengubah imbuhan pada kata

Pastikan anda menggunakan perkataan tersebut sebagaimana adanya. Jangan sekali-kali ubah, tambah atau gugurkan imbuhan.

Contoh : masak
Ibu memasak makanan kegemaran ayah. – Salah

Anda harus mencari jalan untuk menggunakan perkataan “masak” tanpa mengubah imbuhannya. Cara yang terbaik ialah bina ayat pasif dengan menggunakan kata ganti nama diri pertama.

Contoh terbaik :
Makanan kegemaran ayah saya masak. - Tepat

Syarat pembinaan ayat, ayat harus menepati hukum-hukum tatabahasa

 Selain memastikan makna perkataan tersebut jelas, anda juga harus memastikan ayat yang dibina bebas daripada kesalahan tatabahasa. Ini termasuklah kesalahan ejaan dan tanda baca.
Contoh : Hubungan

Hubungan di antara adik-beradik itu retak disebabkan masalah harta pusaka.

Kesalahan tatabahasa - “di antara”

“Di antara” merujuk kepada lokasi dan bukannya hubungan. Ayat yang tepat ialah
Hubungan antara adik-beradik itu retak disebabkan masalah harta pusaka.

Ahad, 21 Julai 2013

Kata kunci Sinonim dalam penulisam ayat pendahuluan rumusan Bahasa Melayu SPM

Langkah-langkah = cara-cara / usaha / langkah mengatasi masalah
Masalah = kesulitan
Faktor = punca / sebab / alasan / perihal
Kepentingan = kebaikan / kelebihan / faedah / manfaat
Kekangan = halangan
Kesan = akibat / akibat-akibat / akibat buruk / implikasi buruk / impak
Kewajaran = rasionalnya /
Hal = perkara-perkara /
Ciri = kriteria /
Keburukan = kelemahan / kekurangan
Sumbangan = pengorbanan / jasa
Peranan = tugas / tanggungjawab

Rabu, 17 Julai 2013

Soalan Novel yang telah disoal dalam peperiksaan SPM 2011 dan 2012

Soalan Novel Tahun 2011

a) Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajar, huraikan perwatakan watak utama dalam novel tersebut. [ 7 markah ]

b) Jelaskan dua persoalan yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari. [8 markah]

Soalan Novel Tahun 2012

a) Jelaskan dua latar masa yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari. [7 markah]

b) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan tiga nilai kemanusiaan yang terdapat dalam novel tersebut. [8 markah]

Soalan SPMU 2013 

(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut. [7 markah]

(b) Pertentangan pendapat antara watak dalam sesebuah novel bertujuan untuk mengembangkan jalan cerita. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain dalam novel-novel tersebut. [8 markah]

Tajuk Komsas yang telah keluar dalam soalan peperiksaan SPM 2011 dan 2012

KOMSAS Tahun 2011

1. Drama Cempaka Berdarah
2. Hikayat Dua Geliga Hikmat
3. Pantun Enam Kerat

KOMSAS Tahun 2012

1. Hutan Rimba
2. Harga Remaja
3. Bangkitlah

Tajuk-tajuk dalam peperiksaan SPM 2011 dan 2012. 


Ahad, 14 Julai 2013

Panduan penulisan karangan berpandukan bahan rangsangan

PENGENALAN

1. Ini merupakan soalan Bahagian A dalam Kertas 1 Bahasa Melayu SPM.
2. Masa yang dicadangkan untuk menyiapkan bahagian ini ialah 45 minit.
3. Sebanyak 30 markah diperuntukkan bagi soalan ini.

FORMAT JAWAPAN

1. Jawapan harus ditulis dalam bentuk karangan. Panjang karangan hendaklah di antara
    200 hingga 250 patah perkataan.

2. Karangan anda harus terdiri daripada 6 perenggan seperti berikut:

PENDAHULUAN
- 3 Atau 4 ayat ( Setiap ayat diandaikan lebih kurang 10 patah perkataan )
- Lebih kurang 40 patah perkataan

ISI 1
- 4 ayat ( Setiap ayat diandaikan lebih kurang 10 patah perkataan )
- Lebih kurang 45 patah perkataan

ISI 2
- 4 ayat ( Setiap ayat diandaikan lebih kurang 10 patah perkataan )
- Lebih kurang 45 patah perkataan

ISI 3
- 4 ayat ( Setiap ayat diandaikan lebih kurang10 patah perkataan )
- Lebih kurang 45 patah perkataan

ISI 4
- 4 ayat ( Setiap ayat diandaikan lebih kurang10 patah perkataan )
- Lebih kurang 45 patah perkataan

PENUTUP
- 2 Atau 3 ayat (Setiap ayat diandaikan lebih kurang 10 patah perkataan)
- Lebih kurang 30 patah perkataan


BENTUK SOALAN

1. Walaupun kebanyakan bahan rangsangan yang dikemukakan untuk bahagian ini setakat ini ialah gambar, namun anda harus bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan lain. Antara bahan rangsangan yang boleh dikemukakan ialah:

a. Gambar tunggal
b. Gambar bersiri
c. Dialog
d. Petikan akhbar
e. Carta aliran
f. Petikan akhbar dan lain-lain.

2. Anda akan diminta menulis sebuah karangan berdasarkan kata kunci yang terkandung di dalam soalan tersebut contoh kata kunci tersebut ialah:
a. Punca
b. Langkah
c. Kepentingan
d. Faedah
e. Usaha dan lain-lain.

3. Namun begitu, ada masanya soalan akan berbentuk umum iaitu anda akan diminta memberikan pandangan anda berdasarkan sesuatu isu.

Sumber rujukan : Dr. D. Kathiresan

Jumaat, 12 Julai 2013

PERTANDINGAN EDUCATIONAL BLOGGING PERINGKAT KEBANGSAAN , PUSAT TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI | UPSI


Link :

Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia 2013

Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia 2013 telah sekali lagi berjaya dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tahun ini. Hadiah pun makin hebat! Bagi yang berminat untuk menyertai, bolehlah tengok syarat dan maklumat pertandingan di bawah ini. Semoga Berjaya! 

Link

http://www.skmm.gov.my/Media/Events/MCMC/Pertandingan-Menulis-Surat-1Malaysia-2013.aspx

CONTOH SOALAN dan RANGKA JAWAPAN KARANGAN BERPANDUKAN BAHAN RANGSANGAN

Contoh soalan

Lihat gambar di sebelah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang punca permainan jenis ini kurang diminati masyarakat hari ini. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Rangka Jawapan

-Wau sejenis permainan tradisional di negara kita
-Contoh-contoh permainan tradisional lain 
-gasing, congkah, batu seremban, sepak raga dan lain-lain. 
-Sayang sekali kurang diminati masyarakat hari ini
-Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan hal ini terjadi
 
Isi 1
-Dianggap kolot oleh generasi muda hari ini
-Dikaitkan dengan masyarakat lama/ masyarakat di kawasan pedalaman
-Tidak mencerminkan perkembangan sains dan teknologi hari ini
-Generasi muda berasa malu untuk mengidentifikasikan diri mereka dengan permainan-permainan ini
 
Isi 2
-Banyak persaingan daripada permainan moden
-Wujud banyak permainan moden, terutamanya yang berkaitan dengan komputer
-Permainan-permainan tersebut lebih canggih dan menarik
-Anggap permainan tradisional membosankan
 
Isi 3
-Generasi kini kurang terdedah kepada permainan tradisional
-Permainan-permainan ini tidak tersebar luas
-Ada anak-anak muda yang tidak pernah melihat permainan tradisional
-Oleh itu mereka tidak mencintainya.
 
Isi 4
-Permainan tradisional tidak dikategorikan sebagai satu sukan
-Lebih merupakan unsur kebudayaan
-Tidak mencabar bagi anak-anak muda
-Generasi hari ini lebih tertarik dengan sukan moden
 
Penutup
-Permainan tradisional - satu warisan budaya bangsa
-Tidak harus dibiarkan pupus
-Setiap pihak harus bekerjasama untuk menghidupkan semula permainan-permainan ini

Sumber rujukan : Dr. D. Kathiresan

Dr. D. Kathiresan

Dr. D. Kathiresan merupakan seorang guru bahasa dan kesusasteraan Melayu dengan pengalaman mengajar lebih dua puluh tahun. Beliau juga merupakan seorang Guru Cemerlang (GC) Bahasa Melayu.

Setakat ini beliau telah menerbitkan lebih 60 buah buku yang merangkumi novel, cerpen, ulasan kesusasteraan dan ulangkaji bahasa Melayu bagi pelbagai peringkat.

Segala hasil pengalaman beliau sebagai guru bahasa dan penulis telah dirangkumkan dalam Revisi Komprehensif ini bagi memberikan satu bahan bacaan dan ulangkaji yang mampu menyediakan para pelajar bagi menghadapi pelbagai kemungkinan dalam dewan peperiksan