E-Bincang

Bacaan Ayat Al-Quran

Rabu, 2 Oktober 2013

Ulang kaji SPM 2013 Syair Pemberontakan Patani

Syair Pemberontakan Patani
Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (Penyelenggara)

Maksud

Rangkap 1
Laksamana telah dititahkan oleh Betara supaya pergi ke negeri Patani dengan segera dan dapatkan cogan Raja Senggora.

Rangkap 2
Hukuman yang telah ditetapkan itu kekal walaupun orang yang melakukannnya memohon maaf.

Rangkap 3
Laksamana tidak berani membantah atau menunjukkan kegelisahannya terhadap perintah Betara. Hal ini disebabkan beliau ingin memelihara negerinya daripada menjadi kacau- bilau.

Rangkap 4
Namun hati Laksamana amat berat untuk meninggalkan ibu saudaranya, Bonda Duli Mahkota Indera yang sedang sakit tenat.

Rangkap 5
Betara meminta Laksamana membuang perasaan bimbang dan kesedihan kerana tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya amat berat. Lagipun tanggungjawab ini perlu dilaksanakan bagi menyelamatkan negeri itu.

Rangkap 6
Setelah mendengar titah Betara, Laksamana bertekad untuk melaksanakan tugasan tersebut. Beliau juga menyerahkan segalagalanya kepada Allah.

Rangkap 7
Laksamana sanggup menanggung sebarang malapetaka dan penderitaan demi kedaulatan raja dan kesejahteraan negerinya.

Rangkap 8
Namun begitu, Laksaman berjalan dengan hati yang sedih. Ingatannya tetap bersama ibu saudaranya yang sakit tenat itu. Laksamana juga begitu yakin beliau tidak akan berkesempatan untuk berjumpa dengannya lagi.

Rangkap 9
Walau bagaimanapun, Laksamana rela kerana sedar kepayahan tersebut hanya ditanggung oleh dirinya seorang. Sebaliknya jika beliau tidak melaksanakan tanggungjawab itu, bala tersebut terpaksa ditanggung oleh seluruh negeri.

Rangkap 10
Oleh itu, Laksamana tidak lagi berkira-kira tentang soal itu. Sebaliknya beliau bergegas pergi untuk mendapatkan cogan Raja Senggora.

Tema dan Persoalan
Syair ini membawakan tema semangat patriotik dan kesetiaan terhadap raja dan negara.

Persoalan-persoalan yang terkandung di dalamnya ialah:
a. Taat menerima arahan pihak atasan.
b. Kesanggupan berkorban demi raja dan negara.
c. Meletakkan kepentingan negara di hadapan kepentingan diri.
d. Menyerahkan diri kepada Tuhan.

Bentuk
Syair ini terdiri daripada sepuluh rangkap dan merupakan sejenis puisi tradisional dengan bentuk terikat. Antara ciri yang menandai syair ini

a. Setiap rangkapnya terdiri daripada empat baris.
b. Rima hujung semua baris dalam sesuatu rangkap itu tunduk kepada hukum aaaa.
c. Kesemua baris dalam sesebuah rangkap berfungsi sebagai maksud (tiada pembayang).
d. Setiap baris terdiri dalam lingkungan empat patah perkataan. (ada juga baris dengan tiga atau lima patah perkataan)

Gaya Bahasa yang Ketara

a. Penggunaan bahasa istana
Contoh:
Dititahkan, bonda, duli, daulat, baginda

b. Inversi (Proses penyongsangan ayat)
Contoh:
(Baris 2/Rangkap 5)
Ke atas negeri hendak mudarat
Sepatutnya Hendak mudarat ke atas negeri

c. Epifora (Pengulangan pada penghujung baris)
Contoh:
(Baris 2 dan 4/Rangkap 9)
Keberatan tertanggung di atas negeri,
Bala yang datang meliputi negeri.

Nilai dan Pengajaran

Nilai-nilai yang dapat diperhatikan dengan ketara dalam puisi ini ialah taat setia, cinta akan negara, keberanian dan kasih sayang.

Pengajaran yang disampaikan ialah:

a. Kita harus setia kepada raja dan negara.
b. Kita hendaklah berani berjuang demi negara.
c. Kita harus cinta akan negara dan sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.
d. Kita harus mengasihi sesama manusia terutamanya ahli keluarga kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan