E-Bincang

Bacaan Ayat Al-Quran

Rabu, 2 Oktober 2013

Ulang kaji SPM 2013 Syair Makna Riak

Syair Makna Riak
Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (Penyelenggara)

Maksud

Rangkap 1
Maksud riak atau takbur ialah sikap beramal ibadat semata-mata untuk mendapatkan pujian manusia. Sikap ini amat dibenci Tuhan kerana tergolong dalam perbuatan syirik.

Rangkap 2
Kadang-kadang riak dilakukan dengan perbuatan berpuasa dan bertutur dengan lemah-lembut. Padahal keadaan dan kebersihan
tubuh badan tidak dijaga.

Rangkap 3
Ada orang yang berpura-pura tidak mementingkan kebendaan agar dirinya dianggap sebagai wali. Namun hatinya tetap condong kepada kebendaan.

Rangkap 4
Ada masanya perbuatan riak ditunjukkan dengan menonjolkan ilmu yang dimilikinya. Orang seperti ini akan banyak memberikan ceramah di pelbagai majlis. Namun dia akan campuradukkan perkara baik dan buruk.

Rangkap 5
Ada masanya orang ini akan berbicara tentang ilmu mantik yakni ilmu akal tentang sebab dan akibat. Dia akan berhujah seolaholah dia telah mengkaji segala-galanya agar dirinya dianggap bijak pandai. Namun tujuannya adalah agar dia diberikan ganjaran tertentu.

Rangkap 6
Ada pula masanya riak ditunjukkan dengan cara berpakaian. Individu ini akan kelihatan berserban berlilit di kepala dan kain sejadah di bahunya. Tangannya pula sentiasa menggenggam tasbih.

Rangkap 7
Ada masanya individu berkenaan akan pejamkan mata dan berzikir panjang sehingga melupakan dirinya. Namun tujuannya adalah suapaya dia diterima sebagai ketua.

Rangkap 8
Sikap riak merupakan bala. Allah memurkai orang seperti ini dan amal ibadatnya ditolak.

Tema dan Persoalan
Syair ini membawakan tema sikap sesetengah manusia yang suka beribadat semata-mata untuk menunjuk-nunjuk dan bukannya dengan hati yang tulus.

Persoalan yang terkandung di dalamnya ialah:

a. Beribadat semata-mata untuk menunjuk-nunjuka dibenci Tuhan.
b. Sikap berpura-pura beriman bagi mendapatkan pujian dan ganjaran manusia.
c. Sikap menampilkan keimanan kerana ingin menjadi ketua.
d. Amal ibadat manusia yang riak tidak diterima Tuhan.

Bentuk
Syair merupakan sejenis puisi tradisional dengan bentuk terikat. Antara ciri yang menandai syair ialah:

a. Setiap rangkapnya terdiri daripada empat baris.
b. Rima hujung semua baris dalam sesuatu rangkap itu tunduk kepada hukum aaaa.
c. Kesemua baris dalam sesebuah rangkap berfungsi sebagai maksud (tiada pembayang).
d. Setiap baris terdiri dalam lingkungan empat patah perkataan. (ada juga baris dengan tiga atau lima patah perkataan)

Gaya Bahasa yang Ketara

Gaya bahasa yang ketara dalam puisi ini ialah

a. Inversi (Proses penyongsangan ayat)
Contoh:
Baris 3/Rangkap 4
Berkata-kata tidaklah jemu
Sepatutnya
Tidak jemu berkata-kata

b. Peggunaan kata-kata Arab
Contoh: syirik, wali, zikir,

c. Simile (perbandingan dengan menggunakan kata hubung) Contoh:
Baris 3/Rangkap 7)
Terkadang jasbah seperti gila

Nilai dan Pengajaran

Nilai yang dapat dirumuskan daripada puisi ini ialah keikhlasan, kejujuran dan kesederhanaan. Pengajaran yang disampaikan melalui puisi ini ialah:

a. Kita mesti ikhlas dalam mengerjakan ibadah yakni demi Tuhan semata-mata.
b. Kita mesti jujur dalam menyampaikan ilmu/ceramah agar tidak menyesatkan orang ramai.
c. Kita tidak harus menunjuk-nunjukkan kelebihan, kebolehan atau ilmu kita.
d. Kita harus bersikap sederhana dalam hidup tidak kira betapa tinggi sekalipun ilmu atau amalan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan