E-Bincang

Bacaan Ayat Al-Quran

Sabtu, 27 Julai 2013

Ayat majmuk

Ayat Majmuk
Ayat majmuk terbina melalui gabungan dua atau lebih ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung. Hal ini bermakna ayat majmuk akan mempunyai lebih daripada satu subjek dan/atau predikat.

Contoh :
Ali / pergi ke sekolah. – Ayat tunggal 1
Adiknya / masih tidur. – Ayat tunggal 2
Ali pergi ke sekolah tetapi adiknya masih tidur - Ayat majmuk

Ayat majmuk dikenali dengan nama berbeza berdasarkan jenis kata hubung yang digunakan dan kaedah ayat-ayat di dalamnya digabungkan.

Contoh :
Ayat Majmuk Gabungan
Ini ialah dua atau lebih ayat tunggal yang dihubungkan dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, lalu, serta, walaupun dll.

Contoh:
Hisham dan adiknya pergi ke sekolah.
Pak Jalil tetap turun ke sawah walaupun badannya kurang sihat.

Ayat Majmuk Pancangan Relatif
Ini ialah ayat majmuk yang menggunakan kata hubung yang sahaja.
Contoh:
Pelajar yang baru berpindah dari Johor itu pandai bermain catur.

Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
Ini ialah ayat majmuk yang menggunakan kata hubung bahawa dan untuk sahaja.
Contoh:
Guru menerangkan bahawa besok hari cuti.
Dia membeli hadiah itu untuk ibunya yang tercinta.

Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
Ini merupakan ayat majmuk yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil. Ayat kecil itu berfungsi untuk menerangkan
ayat induk.

Contoh :
Ali tidak datang ke sekolah kerana sakit. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Sebab)
Saya akan pergi jika tidak hujan. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Syarat)
Dia sakit perut setelah memakan kuih itu. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Waktu)
Dia tetap ke sawah walaupun sakit. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Pertentangan)
Kami berdoa agar dia lekas sembuh. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Harapan)
Ayah pergi ke pejabat dengan kereta. (Ayat Majmuk Pancangan Keterangan Cara )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan